Jadi rasa ingin tahu aku membuat aku kembali ke encik google, dan start browsing dengan maklumat yg teramat la kabur. Pencarian aku pun bermula, dari satu ke satu page aku lawati hanya berbekalkan dgn carian "Jimmy Chua", dan sedikit aku dapat gambaran kasar siapakah Jimmy Chua ini sebenarnya. Jimmy Chua ni rupanya banduan di Penjara Pudu. Ya, Penjara Pudu, maknanya dah lama ni. pasal Penjara Pudu tutup pada taun 1996. Jimmy Chua ni rupanya telah menawan 2 org doktor kat penjara tu dgn 3 org kawan banduannya. Untuk cerita lebih, korang teruskan lah baca post ni yer.
Penjenayah paling ganas tumpasOleh Mohd Anwar Patho Rohman
Aksi menahan Jimmy Chua di Bukit Bintang 20 tahun lalu jadi kenangan 4 anggota polis
MAJORITI rakyat negara ini pasti masih mengingati peristiwa enam banduan menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu, Kuala Lumpur, kira-kira 20 tahun lalu.Ini kerana kejadian pada pagi 17 Oktober 1986 itu tidak pernah berlaku dalam sejarah penjara negara.
Orang awam yang ditahan banduan adalah pakar kulit, Dr Radzi Jaafar dan ahli teknologi perubatan, Abdul Aziz Abdul Majid, ketika itu masing-masing berusia 41 dan 40 tahun.
Enam banduan yang terbabit dalam kejadian berkenaan tidak lain tidak bukan diketuai penjenayah berbahaya, Jimmy Chua atau Chua Chap Seng iaitu bekas anggota polis Singapura.
Peristiwa itu mungkin tidak berlaku jika Jimmy Chua tidak diberkas polis, dibicarakan dan merengkok dalam penjara dan akhirnya dijatuhi hukuman mati pada 10 Oktober 1989.
Meskipun berita banduan menahan pakar kulit dan ahli teknologi perubatan itu mendapat liputan meluas media serta menjadi bualan, tidak ramai yang mengetahui anggota polis yang memberkas penjenayah terbabit.
Mereka ialah anggota Unit Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Inspektor Bakri Ghazali dan empat anggota termasuk Detektif Konstabel Rosdi Shafie.
Tiga lagi ialah Koperal How Seng Beng, Detektif Konstabel Rahman, Detektif Konstabel Anuar dan Detektif Konstabel Azizan.
Pasukan itu memberkas Jimmy Chua, beberapa hari selepas penjenayah paling dikehendaki terbabit menembak mati Konstabel Mohd Yasin Ismail pada 8 Februari 1984.
Seorang daripada anggota pasukan itu, Rosdi yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Rosdi, 49, kini berpangkat koperal.
Mengenai kejayaan pasukan itu memberkas Jimmy Chua, Rosdi mengakui beliau dan rakannya bangga kerana berjaya menumpaskan penjenayah terbabit.
"Ini bukannya untuk membanggakan diri atau menunjuk keberanian tetapi kejadian itu akan menjadi satu kenangan hingga akhir hayat," katanya dalam satu pertemuan di Georgetown, baru-baru ini.
Mengimbau kembali kejadian yang berlaku kira-kira dua dekad lalu, bapa kepada empat anak itu, berkata pasukannya sememangnya ditugaskan untuk memburu Jimmy Chua yang membunuh anggota polis.
Sebelum kes pembunuhan itu, penjenayah itu kurang dikenali walaupun turut terbabit dalam kesalahan lain termasuk memiliki senjata api dan menjadi ketua kongsi gelap.
Selepas pembunuhan Mohd Yassin, semua unit polis Kuala Lumpur diarahkan berjaga-jaga dan memburu Jimmy Chua.
Polis menerima maklumat penjenayah paling dikehendaki itu berada di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan menaiki kenderaan curi jenis Datsun Sunny merah dengan nombor plet palsu CU 125.
Rosdi bersama rakan membuat rondaan biasa dengan menaiki sebuah van hijau tanpa logo polis di sekitar Bukit Bintang.
Nasib menyebelahi mereka apabila terserempak dengan kereta yang dinaiki Jimmy Chua di Jalan Khoo Teik Ee Off Jalan Medan Imbi, kira-kira jam 5 petang.
Mereka terus mengekori kereta itu hingga ke Jalan Khoo Teik Eee sebelum memintas dan berhenti di depan kereta yang dipandu penjenayah terbabit.
Rosdi terus keluar melalui pintu belakang van dan lalu melompat ke atas bonet kereta sambil mengacukan pistol ke arah Jimmy Chua.
Jimmy Chua yang terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangkanya, tidak bergerak dengan kedua-dua tangan memegang stereng kereta dan matanya terkebil-kebil melihat aksi polis.
Empat lagi anggota terus menerkam ke arah penjenayah itu sambil membelit leher dengan tali pinggang kaledar bagi mengelak dia melarikan diri.
Rosdi yang berdiri di atas bonet kereta terus mengacukan pistol ke arah Jimmy Chua dan terlintas dalam fikirannya jika penjenayah itu melepaskan pegangan stereng, picu pistolnya pasti dipetik.
Selepas leher Jimmy Chua dibelit, dia ditarik keluar dan diarah meniarap di atas jalan untuk diperiksa dan sepucuk pistol dan enam butir peluru ditemui tersisip di pinggang penjenayah itu.
Drama penahanan Jimmy Chua berakhir dengan kejayaan tanpa satu das tembakan pun dilepaskan.
"Kejadian berlaku amat pantas. Kami sedang bergurau di dalam van sambil berkata kalau kita jumpa, aku naik atas bonet dan acu pistol, yang lain belit leher dengan tali pinggang kaledar.
"Apabila terserempak dengan kereta suspek, kami bertindak seperti sudah dirancang," katanya yang tersenyum puas dengan kejayaan memberkas penjenayah itu.
Penahanan itulah yang membawa kepada Jimmy Chua merengkok dalam Penjara Pudu sebelum menahan tebusan dalam usaha dia untuk membebaskan diri.
Rosdi mengaku beliau bangga kerana mereka berjaya memberkas Jimmy Chua tanpa dirancang.
"Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Ketika itu kami hanya membuat rondaan biasa dan secara kebetulan kami berada di tempat dan pada masa yang betul," katanya.
Aksi hebat pasukan itu sempat dirakam oleh seorang jurugambar sebuah akhbar yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan disiarkan keesokannya dalam akhbar berkenaan.
"Keratan gambar dan berita itu masih saya simpan dan letakkan di dalam bingkai gambar untuk tatapan sebagai kenang-kenangan," katanya.
FAKTA
Lokasi
Jalan Khoo Teik Eee Off Jalan Medan Imbi, Kuala Lumpur.
Tarikh: 14 Februari 1984Masa: 5 petangPenjenayah: Jimmy ChuaSenjata dirampas: Sepucuk pistol dan enam butir peluru
5 comments:
aku kenal jimmy choo jer~!!!
bro , aku tgk ko punya post nie banyak gak copy paste, it ok, just put the credit where you take it or put the link where you take, it ok,
oh ok thank for the advise
berguna utk sejarah ni heee :)
Jimmy shanley.hihi
Post a Comment